Tuesday, 10 May 2016

TEKNIK BERFIKIR BERSUARA - BAHAN BANTU MENGAJAR 'CUBA JAYA'

1.0       DEFINISI
Bahan Bantu Mengajar (BBM) adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan ransangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik serta lebih menarik. BBM bukan hanya terhad kepada buku teks, papan tulis, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pancaindera, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh para pelajar. Menurut Noraziah Abdul Hamid (1981), dalam bukunya yang bertajuk “Alatan Mengajar dalam Pengajaran Bahasa”, ‘alat bantu’ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka. Pendapat ini juga disokong oleh Edgar Dale (1964) yang digambarkan dalam bentuk “cone of experience” di mana proses pembelajaran bermula dengan proses aspek semi-abstrak hingga kepada yang lebih abstrak.

Menurut Mok Soon Sang (1991), BBM merupakan intipati dalam membantu guru bagi melicinkan dan melancarkan pengajaran dalam usaha memudahkan pelajar memahami konsep dan isi serta fakta dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Mohd Aris bin Othman, Hajah Siti Fatihah binti Abdullah dan Hajah Asmah binti Abd. Rahman (2004), melalui penggunaan BBM dalam pengajaran, pelajar bukan sahaja boleh nampak pergerakan yang dilakukakan tetapi pelajar dapat membaiki kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan aktiviti tersebut. Keadaan ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bertenaga dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar.

Penggunaan BBM juga sebahagian daripada kaedah dan idea-idea yang disampaikan oleh guru kepada murid-muridnya. Walau kaedah apa digunakan sekalipun, BBM pasti turut sama supaya komunikasi guru dengan murid berjalan dengan baik. David Berlo pula mengatakan dalam proses komunikasi itu terdapat empat ciri penting iaitu sumber, pesanan, saluran dan penerima. Isi pengajaran sebagai mesej atau pesanan dan salurannya melalui lisan, BBM dan tulisan. Empat kemahiran iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dewasa ini, pengetahuan saintifik psikologi pembelajaran, perkembangan teknologi, beberapa BBM yang baru dan lama perlu digunakan untuk mempercepatkan proses pembelajaran, tetapi tidak berupaya mengambil tempat seorang guru.

Pada abad ini juga, BBM berkembang pesat sejajar dengan peredaran zaman dalam dunia pendidikan. Perkembangan ini amat ketara sekali disebabkan oleh kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Peralatan yang dihasilkan berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktis dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut Omardin Ashaari (1997), perkembangan teknologi dalam mencipta peralatan pengajaran dan pembelajaran memberi kesan yang sangat nyata dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dilakukan oleh guru dan juga dalam mempercepatkan proses pembelajaran di kalangan para pelajar. Keberkesanan setiap BBM bukan terletak pada kecanggihan bahan atau alat tersebut, namun yang lebih utamanya ialah kesesuaiannya berdasarkan penggunaan serta penyerlahan konsep atau idea kandungan sesuatu mata pelajaran. Di samping itu, kecekapan seseorang guru mengapliksikan BBM adalah penting kerana kegagalannya menyebabkan pengajaran menjadi tidak berkesan atau merosakkan pengajaran dan pembelajaranseluruhnya. Guru juga harus dapat membuat penilaian mengenai BBM yang dipilih untuk digunakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.

            Dalam tugasan ini, kami memilih teknik berfikir bersuara sebagai teknik pembelajaran yang kami ingin tonjolkan melalui BBM yang dibina.

2.0       JENIS-JENIS BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:
  1. Bahan bantu mengajar elektronik
  2. Bahan bantu mengajar bukan elektronik
  3. Bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar daripada alam sekitar

1)      Bahan Bantu Mengajar Elektronik
Bahan bantu mengajar elektronik merujuk kepada media yang menggunakan sumber elektrik. Bahan bantu mengajar eletronik ini semakin popular digunakan oleh guru kerana ianya mudah dan menarik minat murid memberi tumpuan di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Antara contoh bahan bantu mengajar elektronik adalah seperti berikut:
1. Overhead Transparency (OHT) / Overhead Projector (OHP) 
·         Menggunakan sistem pembalikan cahaya daripada satu sumber cahaya (halogen) ke permukaan cermin dan seterusnya membalikkan cahaya tersebut ke skrin.
·         Cahaya yang terlindung akan membentuk imej di atas skrin.

3. Pita slaid (filem slaid) 
4. Radio 
5. Televisyen dan VCR (Video Cassete Recorder) 
6. Alat rakaman 
7. Filem tayang atau filem jalur 
8. Komputer

2)      Bahan Bantu Mengajar Bukan Elektronik
Bahan bantu mengajar bukan elektronik adalah bahan pengajaran terawal yang digunakan oleh guru-guru sebelum wujudnya bahan pengajaran elektronik. Walaupun penggunaan bahan bantu mengajar elektronik semakin meluas, fungsi bahan bantu mengajar bukan elektronik ini masih diguna pakai dan berkesan untuk memudahkan guru menyampaikan pengajarannya semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Antara bahan bantu mengajar bukan elektronik adalah seperti berikut:

1. Papan hitam atau papan tulis 
2. Buku teks 
3. Papan pamer atau papan buletin
·         Papan pamer atau papan bulletin ini merupakan sumber pengajaran yang produktif.
·         Ia digunakan untuk memperkenalkan idea baru, memberi maklumat, memberi kefahaman, memperkayakan  perbendaharaan kata, merangsang perbincangan, menimbulkan daya kreativiti, membentuk sikap dan nilai serta menambah pengekalan pembelajaran pelajar.

4. Fail tegak dan bahan bacaan 
·         Fail tegak dan bahan bacaan ini terdiri daripada bahan-bahan cetak iaitu bahan-bahan bukan buku.
·         Misalnya seperti: majalah, calendar, poskad, surat khabar, risalah atau bulletin, poster, buku panduan, carta, peta dan gambar skrip, kertas kerja dan nota.

5. Gambar 
6. Kad imbasan dan kad cantuman 
·         Kad imbasan terdiri daripada kata-kata atau rangkai kata yang diberi makna di belakangnya. 
·         Ia berfungsi untuk memperkenalkan perkataan-perkataan baru kepada pelajar.
·         Kad cantuman pula dibentuk dengan menulis perkataan dan rangkai kata di atas kad dan kemudian kad itu dipotong.
·         Kemudian, pelajar diminta mencantumkan semula keratan-keratan kad supaya membentuk perkataan dan rangkai kata yang dikehendaki.

7. Carta 
8. Grafik 
9. Papan pengajaran
·         Berfungsi untuk menunjukkan gambaran sesuatu pelajaran yang mempunyai daya komunikatif dan dapat merangsang serta memotivasikan pelajar untuk terus belajar.
·         Contohnya papan flanel iaitu sekeping papan plywood yang dialaskan dengan kain flanel bagi meletakkan gambar-gambar dan kad-kad maklumat.
·         Mudah alih dan mudah dibawa.
·         Di belakang papan flanel dipasangkan sebatang kayu bersama engsel serta cangkuk penyelak supaya papan ini boleh berdiri.

10. Model tiga dimensi (3D)
11. Boneka atau patong
·         Biasanya berbentuk orang, binatang ataupun tumbuh-tumbuhan 
·         Dibuat daripada kain, kapas, tanah liat dan kertas rendaman 

12. Diorama 
·         Merupakan satu reka bentuk gabungan bahan-bahan sebenar atau asli.
·         Patung dan model diletakkan dalam satu susunan kedudukan seperti keadaan sebenar tetapi dalam skala yang dikecilkan dalam persembahan tiga dimensi (3D).

3)      Bahan-Bahan Bercorak Pengalaman dan Bahan Sebenar daripada Alam Sekitar
Bahan-bahan yang bercorak pengalaman adalah seperti lakonan, pantomin, lawatan dan projek pameran. Manakala, bahan sebenar daripada alam sekitar atau disebut  sebagai ‘realia’ merupakan benda semulajadi. Ia dikelaskan dalam bahan jenis tiga dimensi dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu: 
·         Benda bukan hidup 
·         Benda buatan 
·         Tumbuh-tumbuhan 
·         Benda hidup


3.0       KEBAIKAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Selain bertujuan menarik minat pelajar dalam sesebuah mata pelajaran, bahan bantu mengajar merupakan instrumen penting untuk pelajar memahami konsep dan intipati mata pelajaran yang diajar oleh guru di bilik darjah. Bagi bahan bantu mengajar yang dipilih, kami mendedahkan teknik berfikir bersuara kepada para pelajar.

3.1       Psikomotor
Psikomotor merupakan istilah yang melibatkan pergerakan yang menggunakan tenaga atau anggota tubuh badan. Bagi bahan bantu mengajar yang kami pilih ini, ia mampu menarik minat pelajar kerana pelajar sekolah merupakan pelajar yang aktif.

3.2       Afektif
Afektif adalah suatu hal yang melibatkan perasaan. Bahan bantu mengajar ini memberi peluang kepada pelajar sebanyak dua kali. Hal ini bermaksud,  jika pelajar tidak berjaya semasa balingan yang pertama, maka peluang kedua akan diberi untuk menebus peluang pertama yang gagal itu. Hal ini secara tidak langsung, mewujudkan tahap konsentrasi kepada para pelajar semasa membaling bola ke kotak-kotak soalan. Tambahan lagi, hal ini menimbulkan sifat tidak putus asa para pelajar di mana sesungguhnya dalam mencari ilmu, tiada sikap berputus asa

3.3       Kognitif
Kognitif pula dikaitkan dengan otak para pelajar. Hal ini mempengaruhi kemahiran berfikiryang mencakupi intelektual pelajar itu sendiri. Set-set soalan yang beraras tinggi telah disediakan dan memerlukan kemahiran pelajar untuk berfikir dan mengintegrasi apa yang difikir dan apa yang berlaku di sekelilingnya.

3.4       Meliputi Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Bahan bantu mengajar yang kami sediakan adalah menerusi dan mencakupi pendidikan melalui 3 gelombang. Perkara ini amat memerlukan pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi. Oleh sebab itu, kami mendedahkan bahan bantu mengajar ini berkonsepkan berfikir bersuara di mana ianya salah satu cara melahirkan pelajar berkemahiran dalam berfikir aras tinggi.

4.0       KELEMAHAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Meskipun bahan bantu mengajar yang dibina oleh kumpulan kami kelihatan begitu cantik, mudah dan mampu memberi banyak manfaat terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, namun ia juga mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya ialah;

4.1 Tidak kukuh
Peralatan yang digunakan dalam usaha menyempurnakan pembuatan BBM kami ialah   kotak, pembalut hadiah, gam dan gunting. Ia berbentuk segi empat yang mengandung sembilan bahagian. Kami menyedari BBM ini tidak kukuh apabila pembahagi atau penghadang kepada bahagian-bahagian di dalam BBM itu mudah menjadi lembik dan ia menyukarkan bola yang hendak dilontarkan ke arah BBM itu untuk masuk ke dalamnya.

4.2 Mudah rosak
Selain tidak kukuh, kami juga mendapati bahawa BBM yang kami bina ini mudah rosak. Hal ini kerana BBM kami menggunakan kotak sebagai alat utama dalam pembinaannya. Oleh itu, sekiranya BBM kami ini terkena air, ia akan mudah hancur atau terkoyak. Kekuatan seseorang pelajar melontar bola ke dalam BBM ini juga mempengaruhi keutuhan BBM ini. Semakin kuat lontaran yang dilakukan, maka semakin cepatlah BBM ini menjadi lembik dan rosak.

4.3 Proses pengajaran dan pembelajaran terganggu
Kelemahan yang ketiga ini merupakan rentetan daripada kesukaran bola untuk masuk ke dalam BBM yang kami bina. Seorang pelajar yang tidak berjaya melontarkan bola kearah BBM ini pasti akan mengulangi perbuatan melontar itu sehinggalah bola tersebut berjaya mengenai sasaran. Oleh itu, masa yang diperuntukkan juga akan terganggu. Di saamping itu, perkara tersebut juga akan membuatkan para pelajar itu terleka dan terus ingin bermain dengan BBM sahaja tanpa memikirkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku. Dengan demikian, maka jelaslah bahawa BBM ini juga mampu menggangu tumpuan para pelajar untuk belajar dengan baik semasa di dalam kelas.


5.0       MENGAPA BAHAN BANTUAN MENGAJAR DIPERLUKAN

Pada zaman sekarang, banyak inovasi dalam penyediaan bahan bantu mengajar telah diperkenalkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran guru. Penggunaan bahan bantu mengajar adalah amat penting untuk kegunaan guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Terdapat beberapa sebab mengapa bahan bantu mengajar diperlukan. Tujuan utama menggunakan bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ialah bagi membantu guru menyampaikan pengajarannya dengan mudah, tepat, cepat serta menarik.

Bahan bantu mengajar juga diperlukan bagi mendorong pembelajaran pelajar agar menjadi lebih berkesan tidak kira secara sendirian atau berkumpulan. Objektif pengajaran dan pembelajaran akan mudah tercapai dengan adanya pengaplikasian bahan bantu mengajar ini. Hal ini adalah kerana alat atau bahan bantu mengajar  merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan kepada pelajar dalam memahami subjek yang dipelajari.  Menurut Azura Mohd Nor dan Sabariah Sharif (2014), media adalah satu komponen dalam pembentukan pengajaran. Di samping itu juga, pelajar akan dapat terus mengikuti setiap perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Tambahan lagi, bahan bantu mengajar dapat membantu guru dengan pelbagai cara seperti membantu guru menerangkan sesuatu pelajaran supaya pelajar lebih memahami sesuatu konsep pembelajaran  khususnya konsep yang  bersifat abstrak yang memerlukan pemahaman pelajar dengan lebih mendalam. Contohnya, untuk subjek sains, pelajar memerlukan gambaran berkaitan dengan organisme Amoeba dan ciri-ciri yang ada pada Amoeba tersebut bagi memberi pemahaman kepada pelajar dengan lebih lanjut. Penggunaan multimedia yang terdiri daripada slaid, video atau audio dapat menjadi satu daripada bahan bantu mengajar yang memudahkan penerangan berkaitan dengan organisme Amoeba tersebut. Menurut Anggani Sudono (2000), pemahaman dan penggunaan beberapa strategi proses belajar mampu mengoptimumkan prestasi setiap pelajar, interaksi yang semakin berkualiti dan perkembangan motornya. Konsep, fakta dan idea yang diterima dengan jelas berkaitan dengan sesuatu subjek akan lebih kekal dalam ingatan dengan adanya bahan bantu mengajar.

Selain itu, bahan bantu mengajar dapat memudahkan para guru dalam memindahkan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya di samping dapat membantu mewujudkan komunikasi atau interaksi sosial antara guru dan pelajarnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat memanfaatkan kelebihan bahan bantu mengajar dalam kelas untuk merangsang pemikiran pelajar dalam sesuatu subjek. Penyusunan dan perancangan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan bantu pengajaran juga mampu memberi kesan kepada peningkatan prestasi pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan. Menurut Mohd Dahlan (2002), penggunaan pelbagai alat bantu mengajar mengikut cara yang bersesuaian dapat meningkatkan mutu atau tumpuan para pelajar terhadap pembelajaran.

Kesimpulannya, dengan adanya bahan bantu mengajar, sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan sistematik, menjimatkan masa dan tenaga serta menyeronokkan selain bagi menaruh keyakinan pelajar terhadap pengajaran guru yang berkesan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dipelbagaikan. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berkesan akan menjadikan aktiviti pembelajaran menjadi lebih menarik di samping menarik minat pelajar untuk belajar. Peranan guru dalam menentukan jenis bahan bantu mengajar yang sesuai untuk menyampaikan ilmu pengetahuan pelajaran bagi setiap subjek kepada para pelajar juga adalah penting. Oleh itu, dengan adanya pemahaman dalam pemilihan bahan bantu mengajar yang sesuai dan  ingin digunakan untuk sesuatu subjek, ia dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang dirancang.

6.0 RUMUSAN DAN CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Secara keseluruhannya, penggunaan BBM di dalam kelas mampu menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik dan berkesan. Pemilihan alat yang hendak digunakan dalam proses pembuatannya adalah sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada BBM tersebut berjaya mencapai objektif pengajaran ataupun tidak. 

7.0 LAMPIRAN
Gambar-gambar sepanjang proses pembuatan bahan bantu mengajar 'Cuba Jaya' kumpulan kami.
























No comments:

Post a Comment